Tuesday, 5 March 2013

Selepas Khadijah..siapa?


Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang...

tertanya-tanya.. "siapa isteri Nabi yang kedua selepas Siti Khadijah?" serius, tidak tahu.. *its normal.. yang kedua mesti dilupakan? berbalik kepada persoalan, "Siapa isteri nabi yang kedua selepas Siti Khadijah??" her name is "Saudah binti Zama'ah". 


"siapa dia ni?"

"dia ni macam mana orangnya?"

"kenapa nabi kawin dengan dia?"




Saudah merupakan seorang wanita yang tinggi lampai. Ayahnya yang berasal dari Mekkah bernama Zama’ah bin Qais bin Abdi Syams bin Abdi Wudd bin Nasyr bin Malik bin Hasl bin Amir bin Luaiy, manakala ibunya bernama Al-Syumus binti Ghanam bin ‘Adiy bin Al-Najr yang berasal dari Madinah.

Saudah juga seorang gadis yang berusia lanjut kerana lambat bertemu jodoh. Beliau akhirnya dipinang oleh Al-Sakran bin ‘Amer. Kedua suami isteri ini dengan suka rela telah memeluk Islam ketika Nabi Muhammad diangkat sebagai Rasul dan keluarganyatergolong dalam “Al-Sabiqun Al-Awwalun” atau orang-orang yang terdahulu memeluk agama Islam. Malah, mereka lebih awal memeluk Islam daripada Umar bin Khattab. Saudah dan suaminya termasuk dalam rombongan seramai 89 lelaki dan 19 wanita yang berhijrah ke Habsyah. Setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abd. Mutalib memeluk Islam, Saudah dan suaminya pulang semula ke Mekkah bersama 31 orang Muslimin dan 7 orang Muslimat yang lain.

Di Mekkah, Saudah dan suaminya tetap dimusuhi oleh kaum Musyrikin Quraisy. Pelbagai penganiayaan telah mereka lakukan kepada Saudah dan suaminya. Pelbagai seksaan yang dihadapi oleh Saudah dan suaminya sehingga suaminya jatuh sakit dan meninggal dunia di Mekkah. Sepeninggalan suaminya, Saudah kehilangan tempat bergantung, melainkan Allah sahaja tempat beliau mengadu. Beliau seorang diri berusaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya. Beliau tidak pernah berhasrat untuk kembali kepada kaumnya, iaitu kaum Bani Abdi Syams kerana beliau tahu, sekiranya beliau kembali kepada kaumnya, sudah pasti kaumnya mengugut dan menyiksanya supaya beliau kembali kepada agama asalnya yang menyembah berhala. Saudah amat yakin dengan agama Allah yang juga agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Beliau juga yakin setiap apa yang berlaku dalam hidupnya, pasti ada hikmahnya.

Kenangan Nabi Muhammad terhadap isterinya Khadijah tidak pernah luput. Baginda masih lagi bersedih. Melihat kesedihan Baginda, Khulah binti Hakim berasa bertanggungjawab untuk mengurangkan kesedihan Baginda memandangkan Baginda duduk seorang diri. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah supaya Baginda mencari pengganti yang dapat menguruskan rumah tangganya. Khulah mencadangkan Saudah dan Aisyah.

Khulah menceritakan perihal Saudah dimana beliau telah memeluk Islam bersama suaminya tetapi setelah kembali ke Mekkah, mereka telah diseksa oleh kaum Musyrikin Mekah sehingga suaminya meninggal dunia. Beliau hilang tempat bergantung dan hidup sebatang kara. Namun, beliau tetap yakin dengan agama Islam dan tidak pernah berhasrat untuk kembali kepada kaumnya.

Setelah mendengar perihal Saudah, timbul rasa kasihan dari jiwa Rasulullah, hatinya terusik, apalagi Baginda terkenal dengan sifat kasih sayang terhadap umatnya. Baginda juga tergugah mendengar derita yang dialami oleh Saudah dan suaminya yang sanngup mempertahankan agama yang baru dianutinya iaitu agama Allah sehingga suaminya meninggal dunia. Oleh itu, demi membentengi Saudah daripada godaan kaumnya untuk kembali kepada agama asalnya dan untuk melindungi Saudah daripada seksaan kaumnya juga kerana untuk membalas jasa bekas suaminya yang sudah gugur mempertahankan iman dan keislamannya di samping untuk menarik perhatian kaumnya yang bengis dan kejam itu, maka Rasulullah bersetuju untuk memperistikan Saudah.

Usaha Khulah sudah hampir mencapai kejayaan apabila Rasulullah mengutus seseorang untuk meminang Saudah yang ketika itu sudah berusia lebih kurang 50 tahun iaitu suatu umur dimana tidak menimbulkan ghairah bagi seorang lelaki memperisterikannya. Saudah menerima pinangan tersebut dengan rasa syukur. Hatib bin Amrin iaitu anak bapa saudaranya menjadi walinya dan berlangsunglah pernikahannya dengan Rasulullah. Allah telah mengurniakan Saudah nikmat yang tidak ternilai dan meninggikan tarafnya serta dipandang mulia oleh masyarakatnya. 

Pernikahan ini berlangsung pada tahun ke-10 Nabi dilantik menjadi Rasul, di saat Nabi masih dilanda kedukaan akibat kehilangan 2 orang insan yang banyak membantunya,Khadijah iaitu isterinya dan Abu Talib, bapa saudaranya. Dapat disimpulkan bahawa, pernikahan Rasulullah ini bukan didorong oleh rasa hawa nafsu atau syahwat tetapi didorong oleh rasa kemanusiaan yang mendalam demi membela nasib seorang balu yang terlantar akibat ditinggalkan oleh suaminya yang gugur di jalan Allah.

Setelah berkahwin, tinggallah Saudah bersama Rasulullah dan mulai saat itu, beliaulah yang bertindak sebagai pendamping dan pengurus rumahtangga Nabi di samping membantu Nabi dalam perjuangan menegak dan mengembangkan ajaran Islam. Pernikahan Saudah dan Rasulullah ini membawa hikmah yang sangat besar. Orang-orang Arab terutamanya kaum Bani Abdi Syams mula berasa segan terhadapnya dan kaum muslimin lainnya. Ini menyebabkan berkurangnya tekanan dan seksaan yang mereka tujukan kepada kaum muslimin, bahkan ramai diantara mereka yang memeluk agama Islam. Tindakan ini adalah kerana mereka kagum dengan ketinggian nilai ajaran Islam di samping kagum terhadap budi pekerti Rasulullah yang sudi mengahwini Saudah yang sudah tua. Segala tanggapan buruk mereka yang mengatakan bahawa Rasulullah seorang yang jahat, gila pangkat, harta dan wanita hilang. Ini kerana menurut mereka, sekiranya benar Muhammad seorang yang gila wanita dan berhawa nafsu besar, apalah gunanya Baginda berkahwin dengan Saudah seorang yang sudah berusia dan tidak cantik seperti kebanyakkan wanita muda yang terdapat di kota Mekkah itu. 

Di samping sifat-sifatnya yang terpuji, jujur dan taat serta kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada suaminya, Saudah juga memiliki suatu sifat yang amat disenangi Rasulullah iaitu kepandaiannya membuat kelakar. Kebolehannya yang boleh berjenaka itu dapat menghiburkan hati Rasulullah terutama apabila Rasulullah sedang bersusah hati kerana menghadapi masalah-masalah yang rumit dalam tugasnya sebagai pesuruh Allah. Pada suatu hari, Saudah berkata kepada Rasulullah:

“Aku solat dibelakangmu (menjadi makmum) kelmarin ketika engkau sujud aku pun sujud, sehingga aku memegang hidungku kerana takut akan keluar darah daripadanya.”

Rasulullah tertawa mendengar gurauan Saudah itu sehingga kelihatan gerahamnya, sebab Baginda sudah mengerti apa yang dimaksudkan oleh Saudah. Yang dimaksudkan oleh Saudah dengan keluar darah dari hidungnya itu ialah kerana Rasulullah sujud terlalu lama, selama sujud itu pulalah hidungnya mesti tercecah ke lantai. Kerana itu Saudah takut darah akan keluar dari hidungnya sebab terlalu lama tertekan ke lantai. Jadi Saudah terpaksa menahan hidungnya sedikit supaya tidak terlalu kuat tekanannya ke lantai tempat sujud. 

Saudah juga seorang yang bersifat pemurah, suka bersedekah dan menderma di kalangan para isteri Rasulullah dan kaum muslimin pada umumnya. Mengikut tarikh ada mencatatkan bahawa pada waktu Saudah wafat, beliau tidak ada meninggalkan harta yang masih miliknya walaupun sedikit kerana semua hartanya telah dibagi-bagikan kepada sesiapa yang memerlukan ketika dia masih hidup. Diriwayatkan, bahawa pada penaklukan Khaibar, Rasulullah menyerahkan kepada Saudah sebanyak 80 pikul atau 4800 gantang gandum hasil rampasan perang. Tetapi semua gandum itu dibagi-bagikan oleh Saudah kepada orang yang memerlukan sehingga tidak ada yang tinggal di tangan beliau. Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa pada suatu ketika Umar bin Khattab menyuruh seseorang untuk menghadiahkan satu guni wang dirham (wang emas) kepada Saudah pada masa pemerintahannya. Pada mulanya Saudah menyangka ia adalah kurma kerana diletakkan di dalam guni. Setelah mengetahui ia adalah wang dirham, beliau menyuruh pembantunya untuk membahagikan kepada orang yang memerlukan di kalangan kaum muslimin.

Pada bulan Syawal tahun 54 hijrah, Saudah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Madinah, lebih kurang 44 tahun setelah kewafatan Rasulullah. Kewafatan ini berlaku pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan.

*cerita ini sumber dari -  http://niamirastyle.blogspot.com/2013/01/isteri-isteri-rasulullah.html

Oh..ini kah Saudah?? *terngagah 'O' siapa dia? "dialah antara isteri nabi" dia ni macam mana orangnya? "dia ni.. jujur, taat, penyayang, penghibur, pemurah.." kenapa nabi kawin dengan dia?? *rujuk tulisan kaler biru di atas. Next Aisyah pulak..isteri kesayanga nabi :D duk ralit cari tahu nama2x isteri nabi..nama2 nabi ingat ke tidak??? *selingan beberapa saat




2 comments: